ilmukahwin

Wednesday, December 13, 2006

Kenali vagina,vulva, dan penyakit berkaitan

Kenali alat kelamin anda

Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

KATA orang, wanita lebih gemar bercakap berbanding lelaki yang memilih
untuk mendengar. Dan jika wanita diberikan peluang untuk bercakap,
mereka boleh menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk berbicara
perihal datang bulan, kehamilan, proses kelahiran, pantang, menyusukan
bayi dan kerenah anak-anak yang membesar di hadapan mata.

Namun, apa yang dikesalkan, ada juga yang tidak segan silu bercerita
kisah-kisah di dalam kelambu bersama suami secara terperinci walaupun
ia sepatutnya menjadi aib dan eksklusiviti mereka berdua sahaja.

Kiranya, adalah lebih berfaedah jika mereka membincangkan tentang
kesihatan dan penjagaan alat kelamin seperti vulva dan faraj secara
ilmiah kerana ia boleh membantu mencegah jangkitan dan ketidakselesaan
yang dialami, boleh dikatakan hampir setiap wanita pada satu-satu
ketika dalam hidup mereka.

Bukan wanita sahaja, apatah lagi lelaki juga seakan takut dan cuba
mengelak daripada menggunakan istilah vulva, mungkin disebabkan oleh
bunyinya yang agak teknikal dan bercirikan perubatan.

Menyenangkan keadaan, kebanyakan daripada kita merujuk vulva sebagai
vagina atau faraj sahaja. Rasa-rasanya, membuat kesimpulan umum
seperti itu adalah lebih mudah walaupun itu sama sekali lain maknanya.

Yang sebenarnya, faraj merupakan salah satu daripada bahagian vulva.
Tidak ada seorang pun, kecuali doktor, yang boleh melihat faraj
wanita, lebih tepat ke dalam faraj wanita, dengan mata kasar mereka.

Malah, doktor sekalipun hanya dapat berbuat demikian jika ada bantuan
alat khas yang dipanggil spekulum semasa menjalankan pemeriksaan
fizikal ke atas wanita.

Kenapa kita perlu berbincang isu ini bukanlah sekadar semantiknya
sahaja tetapi kesedaran mengenainya yang jauh lebih berkurangan
berbanding masalah payudara atau pangkal rahim yang lebih popular dan
kini, bukan satu lagi misteri seperti vulva.

Wanita perlu prihatin terhadap sebarang perubahan yang terjadi kepada
vulva mereka seperti kulit dinaiki tompok kemerah-merahan atau putih,
vulva terasa gatal, sakit, terdapat benjolan atau luka.

Walaupun kebanyakan simptom-simptom tersebut bukan berkanser seperti
yang lazimnya mungkin kita bimbangi, namun adalah penting untuk
merujuk apa jua keabnormalan yang ketara kepada doktor, pada peringkat
awal lagi.

Sekiranya anda juga tidak begitu pasti apakah yang dimaksudkan dengan
kesihatan vulva, itu mengukuhkan lagi alasan kenapa anda perlu
mengetahui lebih lanjut tentangnya.

"Vulva adalah istilah untuk bahagian luaran genitalia atau alat sulit
seseorang wanita. Dengan kata lain, ia satu anatomi bahagian yang
jelas kelihatan tanpa menggunakan apa-apa bantuan.

"Masalah di bahagian ini lazimnya tidak serius, tetapi pengabaiannya
mungkin menyukarkan perawatan yang akan diberikan,'' kata Pakar
Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr.
Shah Reza Johan Noor.

Seseorang itu boleh membantu diri sendiri dengan melakukan pemeriksaan
sendiri vulva seperti yang dilakukan untuk payudara, ujar beliau.

Anatomi vulva

Sebagaimana pemeriksaan payudara, kulit atau muka untuk kelainan dan
keabnormalan, begitu juga pada vulva, inisiatif pemeriksaan sendiri
juga dibuat.

Sebagai sokongan kepada orang tersayang, suami juga boleh saling
membantu. Cermin boleh digunakan untuk melihat imej vulva tanpa perlu
membongkokkan badan.

- Vulva; bahagian luaran genitalia, dua pasangan lipatan berdaging
mengelilingi bukaan faraj dan uretra untuk membuang air kecil dan
menjulur ke depan hingga ke klitoris

- Mons veneris; bahagian di antara tulang pubik (tulang yang boleh
dirasai apabila menyentuh bahagian bawah abdomen) dan hujung atas
genitalia atau organ-organ pembiakan

- Labia majora; bibir luar yang lebih besar/tebal

- Labia minora; bibir sebelah dalam yang lebih kecil/

nipis

- Klitoris; bahagian atas bibir yang hampir ke mons veneris yang
memberikan rangsangan seksual, hampir sama dengan penis. Sebahagian
daripadanya dilitupi oleh tisu penutup

- Perineum; bahagian di antara dubur dan faraj

- Vestibul; kaviti yang terletak pada tempat masuk ke suatu bahagian
berongga. Pada vulva, ia merupakan satu bahagian di sebelah dalam
labia minora di mana ada pembukaan uretra di bahagian atasnya dan
pembukaan faraj di bahagian bawahnya.

Apa perlunya pemeriksaan sendiri

Sekiranya anda melakukan pemeriksaan sendiri alat sulit, Dr. Shah Reza
memberitahu, mungkin gejala atau petanda awal penyakit berjaya dikesan.

"Puan adalah pengamat terpenting untuk apa-apa kelainan pada diri
sendiri. Suami juga boleh membantu sekiranya sukar untuk melakukannya
sendiri.

"Perubahan mungkin petanda awal sesuatu yang lebih serius lebih-lebih
lagi sekiranya puan pernah mempunyai sejarah keabnormalan vulva yang
pernah dirawat. Tanda-tanda tersebut mungkin kanser.''

Perhatikan perkara-perkara berikut semasa pemeriksaan:

- Kemerah-merahan

- Benjolan atau ketumbuhan

- Tompok-tompok kulit sama ada gelap atau cerah

- Lepuh atau gelembung pada kulit atau mana-mana bahagian

- Butir-butir atau bengkak-bengkak

- Mana-mana perubahan yang tidak pernah anda lihat sebelum ini.

- Anda juga mungkin merungut gatal, berdarah, ketidakselesaan dan rasa
panas seperti terbakar.

Anda boleh memeriksa vulva dengan cara-cara berikut:

1. Basuh tangan terlebih dahulu dan keringkannya. Berbaring atau duduk
dengan selesa, gunakan cermin tangan dengan permukaan yang besar
supaya imej dapat dilihat dengan lebih jelas.

Jika mengalami kesukaran, anda boleh mencangkung atau melutut. Yang
pentingnya, anda boleh melihat dengan jelas bahagian vulva, perineum
dan juga dubur.

2. Dengan lembut, pisahkan kedua-dua labia majora ke sisi. Perhatikan
sekiranya ada apa-apa kelainan.

3. Kemudian, pisahkan labia minora ke sisi, perhatikan pada dan juga
sekeliling pembukaan faraj, perhatikan sekiranya ada keganjilan.

4. Dengan lembut, tarik ke belakang penudung kelentit, periksa dengan
teliti kawasan di bawah penudung dan juga pada hujung kelentit.

5. Pastikan juga pemeriksaan dibuat pada kawasan mons veneris, di luar
kawasan labia majora, kawasan dubur, perineum dan juga sekitar bukaan
uretra.

Dr. Shah Reza menyarankan: "Sekiranya sukar, mungkin disebabkan oleh
postur badan yang tidak mengizinkan, dapatkanlah bantuan suami.

"Begitu juga dengan suami. Mereka boleh melakukan pemeriksaan sendiri
testis atau dengan bantuan isteri, jika mengalami kesukaran.''

Pencegahan dan penjagaan vulva

- Pastikan vulva berada dalam keadaan kering dan bersih

- Jangan memakai seluar dalam ataupun seluar pendek yang ketat.
Gunakan seluar dalam jenis kapas supaya kelembapan dapat diserap

- Kalau mahu menggunakan pantyhose, pastikan bahannya di bahagian
kelangkang diperbuat daripada jenis kapas serap

- Elakkan penggunaan pad ataupun tampon yang berdeodoran (mengandungi
wangian) ataupun berlapikkan plastik

- Elakkan daripada menggunakan sabun yang berbau wangi di sekitar
kawasan vulva

- Elakkan penggunaan kertas tandas yang mengandungi bahan pewangi

- Jangan memasukkan cecair ke dalam faraj, elakkan penggunaan bedak
dan juga pewangi di vulva

- Jangan gunakan pakaian ketat semasa tidur, gunakanlah baju tidur
yang longgar sahaja

Jenis-jenis masalah vulva

* Radang pada kulit (dermatitis) di mana berlakunya iritasi atau
radang pada kulit vulva. Kemerahan dan kegatalan terjadi.

Doktor akan bertanyakan mengenai apa-apa objek yang telah menyentuh
kulit di vulva, jenis bahan pakaian yang dipakai dan sebagainya.
Banyak contoh-contoh bahan yang boleh menyebabkan keradangan vulva
seperti tisu tandas berwarna dan mengandungi wangian, baju renang dan
juga pakaian dalam, pelembut fabrik, sabun dan juga jenis pencuci yang
digunakan.

Boleh jadi juga ia berpunca daripada bedak talkum, pad yang
mengandungi wangian, bahan-bahan spermisidal yang digunakan untuk
perancangan keluarga serta sentuhan dengan produk hasil getah seperti
kondom.

Atau, mungkin juga kerana anda telah tersentuh dengan tanaman-tanaman
di taman, hutan dan lain-lain ketika sedang aktif bersukan dan sebagainya.

* Infeksi atau jangkitan kulat (yis); merupakan satu infeksi yang
biasa dan faraj juga tidak terlepas.

"Rungutan yang lazim adalah seperti kemerahan, kegatalan, discaj atau
lelehan putih berketul-ketul. Kadang-kadang rasa sakit bila memulakan
kencing.

"Rawatannya dilakukan dengan memasukkan ubat ke dalam faraj, ada juga
yang dimakan sekiranya terlalu serius,'' kata Dr. Shah Reza.

* Infeksi oleh kuman-kuman dari penyakit yang ditularkan melalui
hubungan seks – penyakit tularan ini juga boleh melibatkan vulva.
Biasanya ketuat genitalia dan herpes genitalia, yang sering menyerang
vulva.

1. Ketuat genitalia (condyloma) disebabkan oleh virus papilloma.
Ketuat ini mungkin sebiji-sebiji ataupun bergabung menjadi seperti
bunga kubis. "Kulit pada bahagian vulva tidak menjadi lembut dan rata.
Apabila dipegang rasanya seperti timbul, ketuat berwarna kemerahan,
mungkin sakit bila disentuh dan kadang-kadang gatal.

"Rawatannya boleh dengan ubat yang disapu setempat pada ketuat ataupun
jika terlampau banyak, pembedahan kecil diperlukan untuk membuang
lesi-lesi tersebut.

2. Herpes genitalia berpunca daripada virus herpes. Ia menyebabkan
luka-luka berbentuk ulser, gelembung-gelembung dan tompok-tompok yang
menyakitkan.

Ia boleh menyerang untuk beberapa hari dan juga berminggu-minggu.
Episod pertama infeksi adalah lebih teruk berbanding infeksi yang
datang kemudiannya. Kehadirannya menyakitkan, tidak selesa dan
menggatalkan.

Herpes genitalia tidak ada perawatan, cuma ada ubat yang boleh
mengawal serta mengurangkan rungutan serta komplikasi.

* Vulvodynia, iaitu sakit pada vulva yang digambarkan sebagai
terbakar, macam disengat-sengat, iritasi atau panas meradang dan juga
rasa seperti disiat-siat.

"Doktor akan mengambil sampel dalaman faraj dan juga biopsi ke atas
vulva mungkin disyorkan. Kalau infeksi, perawatan antibiotik akan
diberikan. Untuk melegakan rungutan semasa, doktor akan memberi ubat
sementara menunggu kepastian diagnosis.''

* Distrofi vulva; keabnormalan pada kulit, mungkin kulit di vulva
nipis (lichen sclerosus) atau tebal (hiperplasia) atau kombinasi
kedua-duanya.

Bila ia nipis, kulit kelihatan seperti kertas tisu dan bukaan faraj
mengecil. Bila tebal pula, jelas kelihatan tompokan keras di kulit
seperti kulit lembu. Warnanya mungkin putih, merah dan jelas sekali
gatal serta rasa seperti terkena air panas.

Biopsi perlu untuk mengenal pasti puncanya. Ubat-ubat sapu diberikan
buat sementara waktu.

* Vulva Intraepithelial neoplasia (VIN). Keadaan ini sangat jarang
berlaku, merupakan lesi yang menuju ke arah kanser.

Ia menimbulkan kegatalan kulit, kulit menampakkan tompok yang timbul,
mempamerkan warna yang nyata berbeza dengan sekelilingnya. Ia mungkin
hadir tanpa apa-apa rungutan.

Pemeriksaan kolposkopi seperti pemeriksaan untuk pangkal rahim dan
biopsi perlu dilakukan. Lazimnya, boleh dirawat dengan pembedahan kecil.

* Kanser radang; berlaku pada kulit vulva yang mengalami iritasi
berlarutan dan juga VIN yang tidak diendahkan.

Kulit menjadi gatal, berdarah dan tidak selesa. Ketumbuhan atau ulser
mungkin terjadi. Bau jadi tidak menyenangkan. Kelenjar limfa mungkin
membengkak di celah kelangkang.

Biopsi dan pembedahan perlu dilakukan supaya kanser tidak merebak ke
bahagian lain. Kemoterapi dan radioterapi ataupun kedua-dua kombinasi
mungkin perlu diberikan.

* Melanoma; juga merupakan kanser kulit, kelihatan seperti tahi lalat
tapi mempunyai sisi-sisi sempadan yang tidak sekata. Juga memerlukan
pembedahan.

"Oleh itu, pengenalan awal perlu dilakukan. Ia cukup mudah, puan
sendiri atau bersama suami, berperanan untuk membuat pemeriksaan sendiri.

"Kemudian, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan dan
rawatan lanjut. Lagi awal rawatan dimulakan bermakna peluang untuk
sembuh juga bertambah cerah,'' pesan Dr. Shah Reza.

Bahagian Kesihatan Utusan Malaysia
13 Dis 2006

http://www.utusan. com.my/utusan/ content.asp? y=2006&dt= 1210&pub= Utusan_Malaysia& sec=Kesihatan& pg=kn_02. htm

Adakah GSpot Wujud untuk kepuasan wanita?
http://kamasutra. wanita.us/ gspot.php

2 Comments:

  • At 4:51 AM, Blogger Maisarah Yusri said…

    This comment has been removed by the author.

     
  • At 5:00 AM, Blogger sarah_fi said…

    Vulva saya seperti mengalami benjolan dan bengkak. Apabila disentuh, saya berasa sangat sakit dan pedih.
    Malah, sukar untuk membuang air kecil kerana air kencing akan terkena pada vulva tersebut dan terasa amat pedih.
    Adakah itu ketuat??

     

Post a Comment

<< Home